Resensi Buku: Pedagogi Kaum Tertindas (Paulo Freire, 1968)

 

Saya memilih buku “Pedagogi Kaum Tertindas” karya Paulo Freire pada tahun 1968 untuk dibicarakan pada pagi ini. Buku ini telah saya baca berkali-kali, sejak Kali pertama saya membacanya sekitar tahun 1992. Ketika itu saya merupakan pelajar tahun akhir jurusan pendidikan di USM. Dr Haris Md Jadi, pensyarah Falsafah Pendidikan PIPP telah memperkenalkannya kepada kami. Dr Haris merupakan salah seorang penterjemah versi Bahasa Melayu buku ini.

Cinta pertama saya terhadap buku ini ialah pada Program celik huruf yang dilaksanakan oleh Paulo Freire pada awal 1960-an untuk 300 orang petani miskin di Brazil. Dalam tempoh 45 hari, para petani telah menguasai membaca dan memperoleh makna tentang perkataan dan kaitannya dengan kehidupan. Dengan itu, transformasi sosial berlaku. Beberapa kata kunci dalam program ini, ialah: Penggunaan perkataan generatif, Dialog, Penyertaan aktif pelajar dan pembebasan daripada penindasan.

Pada masa itu, saya terkenang dengan nenek saya dan ibu saya yang tidak berpeluang bersekolah, tetapi bertungkus lumus untuk belajar membaca demi makna hidup. Semakin dewasa saya dalam perkhidmatan pendidikan, saya cuba menghubungkan tindakan Freire dengan beberapa program literasi dalam sistem kita yang silih berganti gelarannya, seperti KIA2M, LINUS, PLaN dan seumpamanya.

Dalam masa yang singkat ini adalah tidak mudah bagi saya berbicara sepenuhnya buku yang mengandung 4 bab ini, kerana kekayaan, kedalaman dan kenrencaman fikiran yang dibawa buku ini.

Saya memilih untuk berbicara berkenaan 3 tema utama dan 4 fasa kesedaran kritikal (conscientization) yang Freire ketengahkan dalam buku sebagai santapan minda bagi mendasari refleksi kita terhadap sistem pendidikan yang kita semua dokonngi dan kerjai.

Pendidikan sebagai Alat Pembebasan: Freire menegaskan bahawa pendidikan seharusnya membebaskan individu daripada belenggu penindasan, tetapi malangnya sistem pendidikan sedia ada sering mengukuhkan hierarki kuasa dan membatasi pemikiran kritis. Lantaran itu, beliau menolak keras konsep "pendidikan gaya bank", iaitu sistem pendidikan pasif yang menganggap para murid adalah tin kosong.

Dialog dan Kesedaran Kritikal: Pendidikan seharusnya bersifat dialogik dan interaktif untuk membantu pelajar memahami keadaan mereka dan bertindak untuk mengubahnya. Pelajar juga harus berpeluang meluahkan suara hati mereka. Tahap ini digelar tahap "kesedaran kritikal" (conscientization), iaitu kesedaran mendalam para pelajar tentang realiti social, yang kemudiannya membawa kepada tindakan perubahan.

Penindasan dan Revolusi Sosial: Freire berpendapat bahawa kaum tertindas harus memainkan peranan utama dalam membebaskan diri mereka. Proses pendidikan harus memberikan kaum tertindas suara, peluang untuk menyedari hak mereka serta melawan ketidakadilan dengan memecahkan struktur sedia ada dalam masyarakat.

Ketiga-tiga tema ini amat menarik dan berguna kepada saya pada ketika itu, sebagai seorang mahasiswa aktivisme. Pada hari ini pun, setiap kali saya membaca halaman-halaman buku ini, ia tidak sekadar menggerakkan saya untuk berefleksi terhadap amalan peribadi saya dalam perkhidmatan pendidikan, bahkan sering membolehkan saya melihat secara tersirat hala tuju pendidikan tanahair dengan kritis dan sinis.

Seterusnya, saya berbicara tentang 4 Fasa Kesedaran (Conscientization) Freire:

Fasa Kesedaran Magis (*Magical Consciousness*)

 Golongan tertindas melihat masalah sosial (kemiskinan, ketidakadilan) sebagai "takdir" atau sesuatu yang tidak boleh diubah.  Mereka menerima keadaan tanpa mempersoalkan struktur kuasa yang menindas.  

Contoh: Percaya bahawa kemiskinan adalah "ujian Tuhan" atau nasib semula jadi. 

Fasa Kesedaran Naif (*Naïve Consciousness*)

Golongan tertindas mula melihat masalah sosial sebagai kesalahan individu (bukan sistemik).  Mereka menyalahkan diri sendiri atau kelompok tertindas lain, bukannya sistem penindasan. 

Contoh: "Kita miskin kerana malas" (tanpa melihat eksploitasi oleh pemilik modal). 

Fasa Kesedaran Kritikal (*Critical Consciousness*)

Golongan tertindas menganalisis punca sebenar penindasan secara struktur (sistem politik, ekonomi, pendidikan).  Mereka mengenal pasti bahawa ketidakadilan adalah hasil sistem yang direka untuk mengekalkan kuasa golongan dominan. 

Contoh: Sedar bahawa kemiskinan berpunca daripada dasar ekonomi yang tidak adil. 

Fasa Tindakan Pembebasan (*Libertarian Praxis*)

Pendidikan dialogik dan penyertaan aktif digunakan untuk mencipta perubahan sosial.  Tahap Kesedaran kritikal tercapai dan pasti akan  diikuti dengan tindakan kolektif untuk mengubah realiti penindasan. 

Contoh: Gerakan akar umbi, protes, atau pembinaan sistem pendidikan alternatif. 

Ini bermakna, hasrat dan tujuan pendidikan Freire ialah mencapai tahap kesedaran kritikal, agar manusia dibebaskan. Ini kontradiksi dengan mazhab fungsionalis, yang meletakkan tujuan pendidikan ialah untuk menjadikan manusia itu berfungsi. Persoalannya, berfungsi untuk siapa?

Nampaknya, jika dilihat dari persepsi sistem pendidikan hari ini, hasrat Freire ialah membentuk sistem pembelajaran yang lebih inklusif, demokratik, dan berpusatkan pelajar. Prinsip yang dikemukakan oleh Freire sering digunakan dalam pendidikan progresif, pendidikan untuk keadilan sosial, dan pendekatan pembelajaran berpusatkan komuniti. Pokoknya, Paulo Freire telah menawarkan pendidikan alternatif yang bertujuan membebaskan dan memerdekakan minda pelajar, khususnya apabila Freire juga mengajak pembaca berefleksi dan mempersoalkan peranan pendidikan dalam melawan sistem yang menindas. 

Justeru itu, Pedagogi Kaum Tertindas harus menjadi bacaan wajib bagi pendidik yang ingin memahami bagaimana pendidikan boleh menjadi alat transformasi sosial dan bukan sekadar penyampaian ilmu secara pasif. Walaupun demikian, Freire sendiri pada tahun 1971 berkata, “thought and study alone did not produced Pedagogy of the oppressed, it is rooted in concrete situations”. Demikianlah, kepentingan practices/ amalan tegasnya.

Akhirnya, demi sebuah masyarakat yang manusianya telah terbebas, dan tidak tertindas dan menindas, saya fikir kata-kata seorang sarjana Dinasti Song 960年-1276, 坚:「一日不读书,言语无味;三日不读书,面目可憎。」Sehari tidak membaca, kata-kata menjadi hambar; tiga hari tidak membaca, wajah menjadi menjengkelkan amat relevan.

Demikianlah juga wahyu Tuhan kepada Mohammad dalam ayat al alaq “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam (penulisan), Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”.

Sekian, terima kasih.

Majlis Peluncuran Kempen Galakan membaca Peringkat Negeri Sarawk

SK Agama, Sri Aman

 17 April 2025

Comments

Popular posts from this blog

唪呀唪、唪金公:上不了戏棚的潮州歌谣

阅读《砂拉越简史》,看看现今的历史课本/教育

鲁巴河流域的慈悲娘娘崇拜与其社会